Bismillahirrahmanirrahim.
Mungkin ada yang tersentak dengan tajuk penulisan saya kali ini terutamanya mereka-mereka yang menghentam penulisan saya dengan ejekan, kritikan dan komen-komen yang kebanyakannya tidak membawa apa-apa maksud dan tidak mengetengahkan bukti-bukti bahawa apa yang saya tulis itu adalah salah. Bukan saya mendabik dada dengan apa sahaja informasi yang saya ada, tetapi sekadar mengharap sesuatu yang positif di Industri Kekompetenan khususnya agar ia kekal menjadi wadah anak-anak kita mencari sesuap nasi bagi menampung kehidupan mereka yang tentunya lebih mencabar.
Berbalik kepada matlamat asal, kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri, mengapa agaknya pihak Jabatan Bekalan Elektrik & Gas (bidang kuasa kini di bawah Suruhanjaya Tenaga) mentauliahkan kepada institusi-institusi latihan dan kemahiran ; menganjurkan/mengendalikan kursus, peperiksaan dan seterusnya "menganugerahkan" perakuan orang kompeten kepada pelatih/pelajar mereka. Jawapannya amat mudah. Negara ketandusan orang kompeten tertentu (pendawai dan penjaga jentera) bagi menampung permintaan dan kehendak yang diperlukan memandangkan negara sedang dipacu dengan kadar cukup aggresif sehingga pentauliahan dengan objektif agar produk-produk yang dikeluarkan dapat menampung kelompongan tersebut. Usaha lain yang dibuat adalah dengan kewujudan Orang Kompeten Terhad (Restricted).
Setelah melepasi satu dekad, masalah tersebut dapat diatasi sehingga suatu pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga bertarikh 12 Jun 2007 yang membatalkan dan memberhentikan pengeluaran perakuan Penjaga jentera Terhad. Bagi membaca pekeliling tersebut, sila
klik sini.
Pekeliling itu turut menyatakan bahawa pengeluaran perakuan sedemikian adalah tidak relevan lagi. Mengapa? Negara sudah mengalami "lambakan" seramai 30400 orang diseluruh negara. Itu cerita 3 tahun lalu.
Jika kita tidak terlalu negatif, mungkin kita dapat menggambarkan kuantiti Penjaga Jentera pada hari ini. Saya menjangkakan angkanya hampir mencecah ratus ribu orang. Teori Pengurusan menyatakan bahawa apa sahaja perkara yang kuantitinya melampaui permintaan (
quantity beyond demand) akan mengakibatkan harga jatuh secara kritikal dan kepentingan sesuatu itu tidak lagi dipandang prioriti apabila ia berubah menjadi lambakan (
massive quantity over demand).
Kita boleh mulai bertanya kepada diri sendiri, adakah Penjaga Jentera Voltan Rendah masih lagi boleh
negotiate dengan bakal majikan atau secara sifir yang lebih mudah; adakah mereka mempunyai pilihan?
Jika soalan yang sama disoal kepada saya, maka dengan pantasnya saya menjawab TIADA.
DENGAN ITU, BERSAMALAH KITA MEMOHON BUDI BAIK PIHAK SURUHANJAYA TENAGA AGAR MENARIK BALIK PENTAULIAHAN TERHADAP INSTITUT KEMAHIRAN/ LATIHAN DENGAN KADAR SEGERA.
Jika kualiti yang kita mahu, tindakan pro-aktif perlu dilakukan segera.
Ada juga pembaca yang mempersoalkan kredibiliti saya mengkritik Institut Kemahiran/ Latihan kerana saya juga menerima asuhan awal di sana. Fahamilah bahawa saya tidak berniat menjadi manusia yang menidakkan jasa dan ilmu yang di tumpahkan terhadap saya, cuma saya mengetuk pintu minda kalian agar sedar bahawa "cahaya semakin malap di hujung lorong" (sekadar metafora). Jika tiada yang menyedarkan, maka nilai Orang Kompeten Elektrik (PJE & PW khususnya) akan jatuh dan tidak ubah umpama sampah.
Jangan terperanjat bahawa ada Cikgu-cikgu Institut Kemahiran yang "menjual" pelatih mereka kepada kontraktor elektrik walaupun mereka tahu dan faham bahawa "Gantung Sijil" adalah salah dan merosakkan industri. Bisa sahaja saya menyebut nama-nama mereka tetapi saya memilih untuk "diam' kerana berhusnuzan bahawa mereka sudah "insaf" dan berubah. Bersama kita doakan.
Berbalik kepada persoalan pokok, renungilah ia begini:
Kadar Inflasi semakin naik namun kadar gaji Orang Kompeten semakin menurun. Harga barang semakin menhenyak perut tapi Orang Kompeten semakin mengikat perut mereka (yang gendut?). Kontraktor semakin bertambah tetapi nisbah Orang Kompeten yang bekerja di bidangnya semakin membimbangkan. Malapetaka apakah lagi yang kita tunggu?
Mungkin kalian mahu menunggu bantuan dari langit agaknya. Dimana suara Persatuan Penjaga Jentera Malaysia ya?
Wallahulam.
nota kaki: komentar amat dialu-alukan tidak kira yang membina atau membinasakan.