Penulisan di dalam blog ini cuma pandangan penulis sahaja. Ia tidak menggambarkan pandangan atau pendirian atau mewakili mana-mana pertubuhan atau syarikat atau Institusi yang penulis sedang atau pernah sertai.
Dari Meja Penulis,
Mohd Razib Bin Ramili
Thursday, March 31, 2011
Orang Kompeten Elektrik: Posting Khas
Saya mahu ulang, bahawa blog ini adalah dibina dengan perasaan kasih dan sayang yang teramat kepada industri kekompetenan khususnya bidang elektrik di dalam Malaysia yang tercinta ini. Jika ilmu-ilmu dan persoalan elektrik yang kalian mahu dapatkan jawapan, maka pentasnya bukan di sini. Namun, saya berusaha juga menjawab soalan-soalan yang diberikan. Maaf juga kepada berbondong-bondong email yang saya terima di kotak mel saya. Ada yang saya balas dan ada yang saya tidak sempat balas.
Seperti yang saya jangka, ada yang bersetuju dan ada yang tidak dengan tindakan saya sebelum ini yang menyelar Institut Kemahiran dan membuat petisyen. Jika kita berlapang dada dan membuka minda kita, maka tindakan saya itu adalah suatu lontaran peribadi yang jika ada yang bersependapat, Ahamdulillah. Vice versa to anyone who against my ideas.
Untuk menjadi Orang Kompeten Elektrik yang bagus, kita kena berubah. Dahulu Orang Kompeten hanyalah hands-on guy with low academia background namun perspektif tersebut perlu kita ubah. Kita wajar buktikan bahawa kita juga bleh "diharap' untuk mengepalai suatu jabatan senggaraan ataupun suatu divisyen rombak-rawat. Nah! Maka kemahiran sahaja tidak memadai. Pengetahuan dalam mengendali Pemutus Litar tidak akan membantu untuk menyelesaikan masalah-masalah staf yang pelbagai ragam.
Untuk ke arah itu, suatu anjakan paradigma yang super akan menjadi isu yang vital untuk dibincangkan. Isu gaji pula, adalah hal yang kompleks. Ia akhirnya, terpulang kepada Majikan itu sendiri. Bangsatlah kita jika tatkala kita menerima tangga gaji yang ditawarkan, selang beberapa tahun kita membantah dan berpiket. Bukankah ia nampak bodoh? Saya percaya, Orang Kompeten alaf baru pasti mahu mengangkat martabat pemegang-pemegang perakuan Suruhanjaya Tenaga yang juga bergelar ORANG KOMPETEN ELEKTRIK dan tidak membuang masa mempersoal gaji dan bayaran yang diterima. Negara kita belum muflis peluang pekerjaan. Carilah dan mohonlah. ikut suka dan ikut sedap rasa.
Bagaimana? Di sinilah pentasnya. Bila? Ianya telah lama bermula tetapi kita alpa kerana sibuk menjumudkan diri dengan perkara yang entah apa-apa.
Ilmu, wajar dikongsi namun biarlah ia berguru. Bagi yang mahukan rujukan atau berguru, silalah ke tempat-tempat yang menawarkannya. Bagaimana mahu menjadi Penjaga jentera A1 jika tidak pernah memanjat tiang? Bagaimana boleh menjadi PW3 jika tiada sebuah pepasangan 3 fasa pun yang didawainya? Di sini pentingnya peranan seorang Guru. Guru adalah perkataan yang Universal. Bukan hanya terjumud dalam konteks Cikgu IKM, ILP atau IKBN (sekadar menyebut beberapa nama Institut).
Dalam konteks ini, Guru terbaik adalah Orang Kompeten yang melalui denai kesukaran dengan air mata, kessahan dan penat lelah. Pengorbanan untuk menjadi Orang Kompeten tidak wajar dipandang enteng. Mereka-mereka yang sebegini cukup sarat dengan ilmu, tips dan panduan. Carilah mereka. Belajarlah dan naik-taraflah....kalian akan sedar bahawa sepak-terajang dalam industri ini senantiasa menuntut PENGORBANAN. Baik dari segi pengorbanna kerjaya mahupun kewangan.
Wallahualam.
Thursday, December 16, 2010
Menjawab Komentar Seorang Tenaga Pengajar
kelihatan seperti awak ni prejudis dengan bdk2 yg keluar dari institut latihan...bdk2 zaman sekarang dengan zaman awak dahulu tak sama..itu perbezaan yang ketara...kualiti yang kita harapkan dari pelajar institut latihan mmg tidak akan mencapai tahap seperti apa yg awak nak..terlalu banyak yg diorg kena blaja, tidak seperti di ILSAS..jadi, diorg kena cari pengalaman sendiri, maybe seperti awak yang dimurahkan rezeki mendapat kerja ditempat yang secara tak langsung meningkatkan pengalaman awak..mcm mana klu mereka yg bekerja di kilang kecil, atau bersama kontraktor ayam..keluarga perlu ditanggung, takkan nak tunggu tawaran kerja dari tempat yang bagus seperti tmpt awak bekerja..dr pengalaman saya, pelajar saya yang telah tamat belajar, jarang tidak mendapat pekerjaan..dalam masa 2-3 bulan je, diorg dah bekerja..bezanya nak bekerja di bidang yang bagaimana, industri or construction...belum kira yang dah dapat pergi ke oversea lagi...sebenarnya, kualiti yang awak inginkan sangat tu hanya diperolehi setelah mereka keluar bekerja dan awak orang yang layak untuk membimbing mereka..bukannya membuat kelas luar denga cas beribu ringgit...terlalu banyak lagi yang saya ingin katakan..saya berani cakap, mungkin cikgu awak dulu akan terasa hati apabila awak memperlekehkan tempat mereka bekerja..seolah2 seperti mereka tidak mengajar dengan betul...sekian..."
Pertamanya, terima kasih kerana sudi meluangkan masa di blog murahan saya ni. Saya cukup berbesar hati.
Kedua, saya membuat kelas bukan atas dasar keuntungan. Ia hanya satu wadah bagi berkongsi apa yang saya faham dan belajar dari pengalaman pelajar-pelajar atau dalam bahasa mudah; perkongsian ilmu 2 hala. Tuan (atau Puan?) boleh bertanya kepada pelajar-pelajar saya secara peribadi. I have no problem with that. Saya juga boleh declare apa yang saya terima dan belanjakan untuk mereka sekiranya Tuan/ Puan sudi bersemuka dengan saya. Secara terus- terang, kelas anjuran pengajar Institut Kemahiran/ Latihan jauh lebih lebih mahal dan tidak "student friendly". Walaupun bukan semua, tetapi saya boleh nyatakan beberapa nama. Mereka agak tersohor di Negeri Sembilan dan Melaka. namun, blog ini dibina bukan atas dasar ingin mengaibkan sesiapa. Noktah.
Takut terlupa, ingin saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru saya seperti En, Bisman, En. Zainapi, En. Sazali, En. Hairi, En. Anthony, En. Othman, En. Jalil, En. Osman, En. Liew dan ramai lagi yang tak tersebut namanya disini. Maaf kalau selama ini penulisan saya mengguris perasaan cikgu. Percayalah, itu bukan niat saya. Fokus saya adalah kualiti dan ia adalah tanggungjawab semua. Tanggungjawab Tuan, saya dan semua yang terlibat di dalam industri ini.
Tuan/ Puan yang memberi komentar, saya boleh namakan beberapa puluh lepasan Institut Kemahiran/ Latihan yang "memeranjatkan" majikan-majikan mereka dengan kedangkalan mereka dalam membawa tanggungjawab sebagai orang kompeten elektrik. Saya memilih tidak menyebut nama mereka di sini kerana bukan itu fokus blog ini. Bagi saya, itu adalah petanda buruk masa hadapan industri kekompetenan elektrik dan kitalah yang harus bertindak. Jika saya salah, saya memohon maaf.
Blog ini bukan dibina untuk mencari musuh, jauh sekali untuk menunjuk bagus dan hebat. Saya seperti kalian semua, hanya hamba Allah yang serba kekurangan.
Saya buka lantai komen buat semua. Namun, ia adalah kawasan larangan buat mereka yang tidak bernama (Anonymous).
Wallahualam.
Wednesday, November 10, 2010
Pentauliahan Terhadap Institut Kemahiran Wajar Dihentikan!
Mungkin ada yang tersentak dengan tajuk penulisan saya kali ini terutamanya mereka-mereka yang menghentam penulisan saya dengan ejekan, kritikan dan komen-komen yang kebanyakannya tidak membawa apa-apa maksud dan tidak mengetengahkan bukti-bukti bahawa apa yang saya tulis itu adalah salah. Bukan saya mendabik dada dengan apa sahaja informasi yang saya ada, tetapi sekadar mengharap sesuatu yang positif di Industri Kekompetenan khususnya agar ia kekal menjadi wadah anak-anak kita mencari sesuap nasi bagi menampung kehidupan mereka yang tentunya lebih mencabar.
Berbalik kepada matlamat asal, kita seharusnya bertanya kepada diri sendiri, mengapa agaknya pihak Jabatan Bekalan Elektrik & Gas (bidang kuasa kini di bawah Suruhanjaya Tenaga) mentauliahkan kepada institusi-institusi latihan dan kemahiran ; menganjurkan/mengendalikan kursus, peperiksaan dan seterusnya "menganugerahkan" perakuan orang kompeten kepada pelatih/pelajar mereka. Jawapannya amat mudah. Negara ketandusan orang kompeten tertentu (pendawai dan penjaga jentera) bagi menampung permintaan dan kehendak yang diperlukan memandangkan negara sedang dipacu dengan kadar cukup aggresif sehingga pentauliahan dengan objektif agar produk-produk yang dikeluarkan dapat menampung kelompongan tersebut. Usaha lain yang dibuat adalah dengan kewujudan Orang Kompeten Terhad (Restricted).
Setelah melepasi satu dekad, masalah tersebut dapat diatasi sehingga suatu pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga bertarikh 12 Jun 2007 yang membatalkan dan memberhentikan pengeluaran perakuan Penjaga jentera Terhad. Bagi membaca pekeliling tersebut, sila klik sini.
Pekeliling itu turut menyatakan bahawa pengeluaran perakuan sedemikian adalah tidak relevan lagi. Mengapa? Negara sudah mengalami "lambakan" seramai 30400 orang diseluruh negara. Itu cerita 3 tahun lalu.
Jika kita tidak terlalu negatif, mungkin kita dapat menggambarkan kuantiti Penjaga Jentera pada hari ini. Saya menjangkakan angkanya hampir mencecah ratus ribu orang. Teori Pengurusan menyatakan bahawa apa sahaja perkara yang kuantitinya melampaui permintaan (quantity beyond demand) akan mengakibatkan harga jatuh secara kritikal dan kepentingan sesuatu itu tidak lagi dipandang prioriti apabila ia berubah menjadi lambakan (massive quantity over demand).
Kita boleh mulai bertanya kepada diri sendiri, adakah Penjaga Jentera Voltan Rendah masih lagi boleh negotiate dengan bakal majikan atau secara sifir yang lebih mudah; adakah mereka mempunyai pilihan?
Jika soalan yang sama disoal kepada saya, maka dengan pantasnya saya menjawab TIADA.
DENGAN ITU, BERSAMALAH KITA MEMOHON BUDI BAIK PIHAK SURUHANJAYA TENAGA AGAR MENARIK BALIK PENTAULIAHAN TERHADAP INSTITUT KEMAHIRAN/ LATIHAN DENGAN KADAR SEGERA.
Jika kualiti yang kita mahu, tindakan pro-aktif perlu dilakukan segera.
Ada juga pembaca yang mempersoalkan kredibiliti saya mengkritik Institut Kemahiran/ Latihan kerana saya juga menerima asuhan awal di sana. Fahamilah bahawa saya tidak berniat menjadi manusia yang menidakkan jasa dan ilmu yang di tumpahkan terhadap saya, cuma saya mengetuk pintu minda kalian agar sedar bahawa "cahaya semakin malap di hujung lorong" (sekadar metafora). Jika tiada yang menyedarkan, maka nilai Orang Kompeten Elektrik (PJE & PW khususnya) akan jatuh dan tidak ubah umpama sampah.
Jangan terperanjat bahawa ada Cikgu-cikgu Institut Kemahiran yang "menjual" pelatih mereka kepada kontraktor elektrik walaupun mereka tahu dan faham bahawa "Gantung Sijil" adalah salah dan merosakkan industri. Bisa sahaja saya menyebut nama-nama mereka tetapi saya memilih untuk "diam' kerana berhusnuzan bahawa mereka sudah "insaf" dan berubah. Bersama kita doakan.
Berbalik kepada persoalan pokok, renungilah ia begini:
Kadar Inflasi semakin naik namun kadar gaji Orang Kompeten semakin menurun. Harga barang semakin menhenyak perut tapi Orang Kompeten semakin mengikat perut mereka (yang gendut?). Kontraktor semakin bertambah tetapi nisbah Orang Kompeten yang bekerja di bidangnya semakin membimbangkan. Malapetaka apakah lagi yang kita tunggu?
Mungkin kalian mahu menunggu bantuan dari langit agaknya. Dimana suara Persatuan Penjaga Jentera Malaysia ya?
Wallahulam.
nota kaki: komentar amat dialu-alukan tidak kira yang membina atau membinasakan.
Wednesday, October 27, 2010
Menjawab Komentar Pembaca: Kualiti Lepasan Institut Kemahiran/ Latihan
saya ada membaca komen saudara pada blog,maaf jika saya sedikit mencelah dengan apa yang saudara komen berkaitan dengan pelajar-pelajar MARA terutama yang berada di IKM dan Kolej MARA tidak kompeten?terimakasih dengan pandangan itu.....
itu adalah pandangan saudara, yang mungkin seorang dalam seribu, jangan kerana seorang itu yang lain terpalik sama sehingga menjatuhkan institusi kerajaan
-ini mencerminkan tuan seorang saja pakar dalam bidang tersebut?
-Jagalah maruah seseorang, jika dia tidak pandai ajarlah dia.Banyak cara lain yang boleh menaikan imej seseorang supaya kita sama-sama membangunkan orang kompeten.
saya yang ikhlas,
1. zubairi mat zin
pensyarah kolej KKTM MARA
Competent B4 33kV, pw4l
2. Asymal wajdi
Competent penyelia Elektrik
AO,PW4
Assalamualaikum warahmatullah.
Pertamanya, maaf jika niat saya menegur kualiti yang dipunyai oleh "kebanyakan" produk Institut Kemahiran/ Latihan dipandang dari sudut yang amat negatif. Sebagai tenaga pengajar , tentu sekali kalian akan berasa terpanggil dan akan ada yang "menyinga" dengan tulisan-tulisan saya sebelum ini.
Percayalah, jauh sekali hendak saya memperlekehkan dan apatahlagi menghina lepasan Institut Kemahiran / Latihan yang berlambak-lambak di pasaran. Jika saya salah, sila buktikan. Setakat hari ini, saya percaya kenyataan-kenyataan saya adalah benar dan betul. Dan, tidak pula saya mendewakan mereka-mereka yang berhempas-pulas memperolehi kekompetenan melalui peperiksaan persendirian (private examination).
Kita mudahkan, sekiranya seorang individu menjalani proses-proses pembelajaran selama 2 tahun di Institut-institut kemahiran/ latihan, maka kita akan andaikan pengetahuan mereka adalah melampaui tahap WOW!
Malangnya, ada bekas pelatih IKM yang tidak tahu formula mengira arus lampu. Malahan, ada yang tidak pernah tengok pun Borang G dan H. Salah siapa? Salah cikgu atau salah mereka yang tidak mahu ambil tahu?
Benar, isu kualiti adalah subjektif untuk didebatkan. Sebagai individu yang sayangkan industri ini, kita wajar memikirkan sesuatu agar lambakan ini tidak menjejaskan periuk nasi kita sendiri.
InsyaAllah, jika ada kelapangan, saya akan sambung penulisan ini.
nota kaki: bersangka baik (husnuzan) adalah jalan terbaik.
Saturday, October 9, 2010
3 Golongan Orang Kompeten
Kategori 1: Orang Kompeten Yang Tidak Bekerja didunia kekompetenan.
Mereka ini, mempunyai kekompetenan namun bekerja atau berniaga di bidang yang 100% lari dari dunia kekompetenan. Secara kasarnya, mereka ini KEBANYAKANNYA dari lepasan institut-institut kemahiran yang berlambak-lambak dan mengeluarkan produk yang boleh didebatkan kualitinya. Ada juga yang mendapat kekompetenan dari peperiksaan persendirian tetapi "putus asa" dengan sepak terajang dunia kejuruteraan elektrik. Orang Kompeten dari kategori ini, menceburi bidang lain atas beberapa sebab, contohnya:
- tidak mendapat pekerjaan yang diinginkan atau tidak berpuas hati dengan bayaran yang diterima dari majikan terdahulu.
- mendapati kerja dibidang lain lebih berbaloi.
- memasuki institut atas desakan keluarga atau terpaksa melanjutkan pelajaran kerana malu dengan orang kampung.
- mendapat sijil kompeten dari Institut dengan mudah walhal tidak layak langsung!
Orang Kompeten dari kategori ini bukanlah dimaksudkan mendapat kekompetenan dari Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), tetapi mengambil sijil kekompetenan untuk mendapat sub-kepala 11 (lampu awam) atau sub kepala 6 dan pelbagai lagi. Mereka ini, tidak berminat untuk menjadi orang kompeten yang "sejati", tetapi HANYA mahu sijil kekompetenan tersebut bagi profile syarikat mereka. Megah bagai merak bila bergelar Chargeman, meloncat bagai beruk bila bergelar Wireman Nil tetapi malangnya knowledge dan experience mereka boleh didebatkan. Bagaimanapun, kontraktor elektrik yang BUKAN dari kategori ini , akan jatuh ke kategori ketiga bersama Orang Kompeten yang lain.
Kateegori 3: Orang Kompeten Sejati @ Orang Kompeten Kelas Pertama.
Orang Kompeten dari kategori ini adalah yang didambakan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga, pihak Majikan dan pihak pengurusan. Mempunyai aura dan karisma seorang Orang Kompeten, sentiasa look forward untuk upgrade kekompetenan sedia ada, sentiasa mahu belajar, menghormati pemegang kompeten yang lebih tinggi, rendah diri dan senantiasa peka dengan keselamatan dan kehendak Akta 447.
Cikgu-cikgu, Tutor , Lecturer dan tenaga pengajar kelas kekompetenan bolehlah dimasukkan di bawah Kelas Pertama/ Kategori ketiga kerana mereka yang memberi ilmu kepada bakal Orang Kompeten.
Tanya diri kita, kita berada di kategori yang mana. Berusahalah menjadi orang kompeten Kategori Ketiga!
Wallahualam.
Sunday, October 3, 2010
Booklet Suruhanjaya Tenaga
Kelas Chargeman juga tidak mahu tewas.;)
Selepas ini, kita sudah boleh bicara semula perihal dilema "Orang Kompeten". Maaf jika terlalu kerap menerbitkan hal-hal berkaitan kelas. Maklumlah, baby sulung. ;)
Bagi yang mahu mendaftar, ruang masih terbuka. Hubungi saya di 0176983786 atau 0183983868 atau 0126312304.
Saturday, October 2, 2010
Kelas Pendawai Telah Bermula!
Thursday, September 30, 2010
Friday, August 20, 2010
BERITA TERKINI!!! KELAS KEKOMPETENAN ELEKTRIK CHARGEMAN & WIREMAN.
TENAGA PENGAJAR PERTAMA
- merupakan tenaga pengajar ILP, bekas tenaga pengajar jurusan elektrik IKBN dan ADTEC.
- pemegang kompeten Chargeman A4 dan diploma Elektrik Kuasa.
- pengalaman belasan tahun dalam mengajar subjek wireman & Chargeman.
TENAGA PENGAJAR KEDUA
- merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja elektrik kuasa, pendawaian dan senggaraan voltan tinggi..
- pemegang kompeten Chargeman A4 & PW4 dan Ijazah Elektrik Kuasa dari Amerika Syarikat.
- pengalaman puluhan tahun di lapangan.
TENAGA PENGAJAR KETIGA
- merupakan seorang yang aktif dalam kerja-kerja elektrik kuasa, pendawaian dan senggaraan voltan tinggi..
- pemegang kompeten Chargeman B0 & PW4 dan Diploma Pengurusan.
- pengalaman belasan tahun di lapangan.
TUNGGU APA LAGI?????
Monday, January 25, 2010
Institut Kemahiran: Suatu Komentar Serius.{II}
Reaksi bercampur-baur yang saya terima setelah bahagian pertama posting ini disiarkan, memang telah dijangka sejak dari awal. Memang agak sukar untuk menerima kebenaran namun kebenaran itu kan tetap kebenaran. Kewujudan blog ini bukan untuk memperlekehkan mana-mana pihak atau mengendos istilah "bodoh" dan "bangang" kepada sesiapa, tetapi untuk memartabatkan profession dan kerjaya sebagai seorang orang kompeten di bawah akta 447.
Sama ada kita sedar atau tidak, orang kompeten akan lenyap jika terdapat pindaan atau pemansuhan Akta 447 kerana kewujudan orang kompeten berasaskan dari akta tersebut. Maka, bagi memastikan kehadiran orang kompeten mutakhir terus dipandang berwibawa dan berilmu, maka sesuatu perlu kita lakukan.
Kalau Chargeman nak harapkan PEJEMA, maka terlingkuplah institusi Penjaga Jentera (jika ia boleh dikategori sebagai suatu institusi). PEJEMA adalah singkatan pada Persatuan Penjaga Jentera Malaysia. Apa fungsi PEJEMA? Kalau kalian tanya saya, saya jawab "ENTAH". Kalau sesiapa ada informasi terkini, sila maklumkan saya. Saya akan war-warkan ke seluruh alam. Malang sungguh sebuah persatuan tiada laman web. Kuno betul!
Apa bukti mudah kebanjiran orang kompeten lepasan Institut Kemahiran hanya menjahanamkan profession kekompetenan terutama Pendawai dan Penjaga Jentera?
Kalian boleh buat kajian sendiri. Berapa gaji seorang Chargeman AO pada 1995 dan 2005? Pada 1995, gaji seorang Chargeman AO tidak kurang dari RM1800. 2005 pula, ada yang hanya mendapat gaji RM750 .
Berapa weightage kebergantungan organisasi kepada Chargeman yang digaji mereka? Kalau saya, saya akan jawab 45%!
Organisasi lebih percaya kepada kontraktor dari Chargeman mereka sendiri. Kalau pegang multimeter pun menggigil, maka wajarlah ia jadi sebegitu rupa.
Gantung lesen (illegal tapi ia berlaku) seorang PW2 pada tahun 1999 adalah RM400 sebulan. Bila terlalu ramai PW4 yang keluar melata di muka bumi ni, harga gantung PW4 boleh menjadi RM150! Ini bukan main-main, saya mempunyai bukti. Pendawai lepasan Institut Kemahiran tidak tahupun prosedur "gantung lesen" dan ada yang menyerahkan sijil ASLI kepada majikan!
Kelakar dan memeranjatkan bukan?
{akan bersambung}
Thursday, January 21, 2010
Institut Kemahiran: Suatu Komentar Serius.
Adakah seorang yang mahu menjadi orang kompeten perlu memasuki Institut Kemahiran/ Latihan yang formal?
Bagi soalan diatas, saya mempunyai 2 jawapan iaitu YA dan TIDAK dengan berdasarkan atas 2 situasi.
Bagi saya, jika kalian bermula dari sifar dan ingin menceburi kerjaya ini, maka bergurulah di lapangan dan tuntutlah ilmu melalui pembelajaran yang formal. Formal disini bermaksud kursus-kursus yang ditawarkan di Institut Latihan dan Kemahiran yang tumbuh bak cendawan.
Namun, jika kalian sudah memiliki kekompetenan dan ingin menaiktaraf sijil kompeten, maka saya sarankan agar sekadar menghadiri kelas-kelas tambahan/ swasta yang diadakan satu atau dua minggu sekali.
Pemahaman dari lapangan pasti akan memudahkan kalian memahami dan menguasai ilmu yang dipelajari dengan mudah. Seorang teman saya, yang mengikuti latihan di IKM telah menyatakan ketidakpuasan hatinya kerana tenaga pengajar di IKM tidak begitu berpengalaman untuk memberi pemahaman tentang perkakasuis kerana tenaga pengajar itu sendiri amat kurang pengalaman di lapangan.
Nah! Disinilah fungsinya On Job Training. Namun, pihak MARA juga tidak bolehlah mengambil mudah perkara ini kerana nasib anak bangsa sebenarnya yang menjadi taruhan.
Bagi saya, sistem pointer/ GPA yang dipraktikkan oleh IKM adalah suatu perkara yang menggelikan hati. Bagaimana lepasan pelatih mahu mengaplikasikan point tersebut jika ianya "tidak laku" di luar?
Sasaran untuk melahirkan Bumiputera berkemahiran semakin diketepikan. Lepasan IKM didapati kurang berkualiti dan cuma bertambah dari segi kuantiti.
Bayangkan, seorang PW4 lepasan IKM tidak tahu melakukan pengiraan arus bagi lampu. Bukankah ia menjengkelkan?
{akan bersambung}
Thursday, January 14, 2010
Testimonial

Saya tidak mempunyai sebarang keuntungan dari iklan yang saya paparkan, cuma untuk dikongsikan dengan sesiapa yang mahu bergelar orang kompeten atau yang mahu menaiktaraf kekompetenan. Di bawah, adalah testimonial dan pendapat rakan kita yang sudah mengikuti kelas di UMC.
-UMC mmg ada byk klas utk ni.
-satu klas dlm 40 org two week once (for part time).
-Semua A0,A1,A4 akan msuk klas yg same tp klas utk A1,A4 akan dilanjutkn sessi.
-stiap satu klas akan review 1 tajuk(jgn nk miss plak)
-byk bg nota, byk mmbantu dlm calculation.
-byk mmbantu dlm proses isi & hantar borang, pertolongan cemas etc.
-if nk tanye pndapat dan idea pon dorg bole jd adviser.
-byk mmbantu dlm bg gmbaran mse test nnti. -dorg bole dpt ingat name2 student
-ada jugak sediakan latihan praktikal (ACB rack in out) kat IKBN.
My advise.
-bnda2 ni bkn cm skola..so basic2 knowledge msti kne ada (xkan la nk tekan calculator pn nk kne aja kot).
-kt ptt try reseach sndiri bnda2 yg diajar utk tau kesahihannye :)
-try cari org2 kompeten to help in improve & sharing knowledge.
-ada org yg based teori dgn based praktikal. (org slalu ckp cable besa lg bagus tp klo lubang MCCB kecik mane muat nk sumbat cable besa)
Ty ^^
Tuesday, January 12, 2010
Iklan: Kelas Kekompetenan

Saya menerima sepucuk surat dari UMC Resources yang sedang menawarkan kelas-kelas kompeten seperti Pendawai Elektrik PW4 , Chargeman Ao-A4 dan lain-lain lagi. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi mereka melalui alamat email yang tertera di bawah:
umc_resources@yahoo.com.my
Nota Razib: penulis blog ini tidak bertanggungjawab diatas sebarang permasalahan yang timbul kerana penyiaran iklan ini berlandaskan atas kapasiti bagi menwar-warkan "an opportunity to be competent person".
Friday, January 8, 2010
Tiada Istilah Proksi
Dahulu, ramai yang merasakan tidak menjadi suatu kesalahan untuk menjadi proksi kepada mana-mana orang kompeten. Contohnya, melakukan pendawaian sambil orang kompeten HANYA menandatangani Borang G dan H namun tidak pernah ada di tapak apatahlagi melakukan pengujian.
Ataupun, melakukan calibration tanpa kehadiran orang kompeten dan orang kompeten cuma menandatangani Test Result.
Ini semua adalah salah dan wajar dihentikan dengan kadar segera. Suruhanjaya Tenaga juga ada mengedarkan pekeliling yang menekankan betapa WAJIBNYA orang kompeten sendiri yang melakukan lawatan dan pemeriksaan bagi pepasangan { klik sini }.
Hal ini, semua orang sudah tahu tetapi sengaja buat-buat tak tahu.
Thursday, December 31, 2009
Komentar Pembaca
Saya suka sungguh dengan komentar pembaca ini:
Salam Bro,
Tahniah atas blog yg ceria dan bermanafaat ni.
FYI. Saya bukanlah org kompeten, but my past work experience dikelilingi org kompeten yg komited, honest dan knowledgeable in their scope menyebabkan sy respek "profession" ini.
But itu citer dulu2x. Lately, kita dapati ramai kompeten person buat in-term of quality of work n knowledge kekadang membuatkan kita tertanya2x "betulke kompeten person ni"?
Tak tau la mana silapnya "job scope sendiri pun ditanya tak bole nak jawab, belum lg ditanya perkara2x akta, installation standard and comissioning.
Mgkin betul ckp bro dlm artikel "malas dan feel in save zone, but kalu tak diupgrade, otak jd berkarat, ilmu makin luntur dek kerana tak digilap. Buat keje supervision jer, hand-on jarang2x akhirnya ternmpk la "org kompeten yg unknowledgeable with no quality" sebabnya lupa pada "RESPONSIBLITY as KOMPETEN PERSON".
Tapi kalau ramai org kompeten yg mind thinking cam bro, saya pasti org spt saya memandang tinggi/respek "profession" ni spt dulu2x.
Sekadar pendpt.
Wslm.
From: Budak E&I without competencies yg mentah.
December 30, 2009 7:38 AM
Dan, saya menjawabnya begini:
Salam Tuan;
Saya memandang tinggi komentar Tuan yang "mengetuk" pintu pemikiran ilmiah saya. Usahlah Tuan terlalu merendah diri dengan menggunakan perkataan "mentah" kerana kita semua tetap sama di mata Tuan Punya Dunia.
Menjadi orang kompeten amat berbeza dari proffesion yang lain. Jika kita amati pembelajaran di Universiti, setiap subjek akan mula dilupakan setelah selesai Final Exam pada setiap semester.Ia berbeza dengan kekompetenan ST. Sebagai contoh, Chargeman B4 wajib menguasai ilmu dan skill yang perlu ada pada seorang Chargeman B4, BO, A4, A1 dan AO. Jika dia tidak menguasai walaupun salah satu, kredibiliti nya akan diragui.
Dan, setiap orang Kompeten pula, wajar malah tidak keterlaluan dikatakan WAJIB "nailing their field" tanpa kompromi. Persepsi khalayak yang menganggap setiap orang kompeten knowledgeable perlulah dihargai.
Bagaimana? Dengan meningkatkan pengetahuan dan biarlah ia setanding dengan kekompetenan ang dipegang. Simplified, knowledge should be more than competency.
Gaji nak lebih tapi kerja macam haram pun tak guna juga..ye tak?
Wallahualam.
December 31, 2009 12:18 AM
Tuesday, December 29, 2009
Masalah ketika ingin Mendaftarkan Pepasangan
Kekeliruan timbul apabila ditanya "Siapa yang perlu mendaftarkan pepasangan?". Adakah Pemunya, Pengurusan atau Pemaju?
Jika amati akta 21, yang menyatakan:
"Sebelum siapnya sesuatu pepasangan baru, selain daripada pepasangan yang dipunyai oleh pihak berkuasa bekalan, pemunya hendaklah mengemukakan, dengan pendua, kepada Suruhanjaya, suatu permohonan untuk pendaftaran.........(rujuk Akta 21 subseksyen 1)"
Maka, dapatlah disimpulkan, yang sepatutnya bertanggungjawab mendaftarkan pepasangan adalah PEMAJU. Mana mungkin pemunya atau pengurusan mempunyai hak di atas kertas ketika sesuatu pepasangan itu belum siap bukan?
Dan, adakah pemaju- pemaju melaksanakan akta ini? Siapa yang sering menanggung beban dari segi kos dan birokrasi dokumentasi? Selalunya, pihak pengurusan.
Berapa kos yang akan ditanggung ketika mahu mendaftarkan pepasangan? Ia SUBJEKTIF. Saya terlibat secara langsung ketika sebuah Menara 23 Tingkat, dilawat secara kejutan (suprise visit) oleh Ir. Cheah (Pengarah ST Kawasan Tengah). Saya telah beberapa kali menasihati pihak pengurusan tentang kewajipan mendaftarkan pepasangan namun dipandang enteng. Biasanya, kertas kerja bagi mendapatkan bajet untuk mendaftarkan pepasangan agak sukar jika tiada surat peringatan dari ST. ST memberi 2 peringatan dan kami terpaksa berbincang semeja dengan Ir. Cheah bagi menangguhkan sedikit akibat dari bajet yang lewat diluluskan. Alhamdulillah, pihak ST amat faham situasi kami sebagai Pihak Pengurusan.
Kami menerima 3 sebutharga.3 syarikat yang menghantar sebutharga yang meliputi dokumentasi ST, Endorsan diagram, Test report, Switchboard Certificate dan yang paling mahal adalah Consultation charges. Kompeni A meletak harga RM31000, kompeni B RM 16000 dan Kompeni C meletakkan harga RM9000.
Sudah pasti kompeni C yang dipilih. Namun, persoalan yang ingin saya bincangkan di sini, kenapa kos yang sebegini besar ditanggung oleh pihak Pengurusan Pepasangan?
Ia tidak akan berlaku jika pembeli yang ingin membeli sesuatu pepasangan memastikan perihal Pendaftaran Pepasangan diletakkan di dalam checklist sebelum beli (Pre-Purchase Checklist).
Orang Kompetenlah yang wajar memainkan peranan dalam memastikan majikan yang mahu membeli pepasangan diingatkan. Orang Kompeten agak penting bagi sesebuah syarikat yang menguruskan hartanah atau bangunan (property and building management company).
Ada juga teman-teman yang menanyakan, pepasangan yang bagaimana jatuh kritikal untuk didaftarkan?
Saya menjawab "Pepasangan yang mempunyai janakuasa tunggu-sedia atau mempunyai kemasukan 11kV kestas atau kedua-duanya sekali".
Sumber saya? Dari seseorang yang kalian kenal dan berpengaruh di bidang ini namun saya memilih ntuk merahsiakannya. Noktah.
Tuesday, December 22, 2009
Penukaran Tajuk Blog
Rasanya, tidak sesuai jika tajuk blog dijumudkan kepada ruang-lingkup Chargeman dan Wireman. Maka, ia diubah menjadi Orang Kompeten. Didalam akta 447, Peraturan Elektrik 1994, orang kompeten ada 6 kesemuanya.
- Pencantum Kabel
- Pendawai (Wireman)
- Penjaga Jentera (Chargeman)
- Penyelia Elektrik
- Jurutera Elektrik Kompeten
- Jurutera Perkhidmatan Elektrik
Lumayankah menjadi seorang orang kompeten?
Duit tidak pernah menjadi prioriti. Jika kalian berminat dan bersungguh, maka jalan yang ada terbentang luas. Tanpa minat, ramai orang kompeten yang menjadi penjual burger, kerani, operator pengeluaran dan penganggur.
Dek bosan dengan senario negatif seperti ini, maka blog ini tercipta.
Ingat, walaupun orang kompeten tidak bekerja di "padang"nya, makluman kepada Suruhanjaya Tenaga tetap menjadi WAJIB!
Wallahualam.

